My Supergirls and Superheros~

Thursday, February 21, 2013

Samarinda : Surat Dari Langit Biru

Assalamualaikum w.b.t dan Salam 1 Malaysia..

Sekarang ni sha dan suami tengah layan drama terbaru dalam slot samarinda TV3 yang bertajuk 'Surat dari Langit Biru'.Cerita ni membuatkan sha menitis air mata,rase macam sha pulak yg alaminya..Kisah kasih sayang adik beradik hingga akhirnya seperti peribahasa 'Air yang dicincang xkan putus'.


 Drama bersiri 15 episod terbitan Rashbir Media yang mendapat sentuhan skrip daripada Basri Musa menampilkan pelakon berbakat besar Johan As’ari sebagai Zarul bergandingan dengan Yana Samsudin sebagai Salmi. Turut membintangi drama tersebut ialah Fizo Omar (Heykal), Dato’ Rahim Razali (Pak Hassan), Fauziah Nawi (Mak Munah), Iqram Dinzly (Zamri), Tania Hudson (Lisa), Nabila Dally (Anis), Ika Nabila (Lydia) dan ramai lagi.

SURAT DARI LANGIT BIRU mengisahkan ikatan persaudaraan di antara Zarul dan Salmi yang amat rapat umpama cubit peha kanan, peha kiri terasa. Walaupun kehidupan mereka tidak dilimpahi dengan kemewahan harta benda, namun kasih sayang yang dicurahkan adalah kunci kebahagiaan buat mereka sekeluarga.
Kasih sayang Zarul terhadap kakaknya, Salmi melebihi segala-galanya. Zarul sentiasa mempertahankan Salmi walau apa jua yang terjadi. Hubungan mesra yang wujud di antara mereka kadangkala membuat Zarul dan Salmi merasakan kasih sayang mereka melebihi sayang saudara kandung dan masing-masing menyimpan rasa antara satu sama lain.
Sejurus keputusan SPM keluar, Salmi telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Namun, tawaran itu terpaksa ditolak kerana Salmi mengenangkan adiknya Zarul juga memerlukan wang yang banyak untuk bersekolah. Zarul kemudiannya memujuk kakaknya supaya meneruskan pelajaran demi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor. Demi kasih sayang seorang adik terhadap kakaknya, Zarul sanggup berkorban dengan meninggalkan kampung halaman untuk mencari pekerjaan di bandar.
Ternyata tindakan Zarul mengecewakan ayahnya, Pak Hassan. Pak Hassan yang merupakan seorang ayah yang sangat ego dan garang, tidak lagi mengaku Zarul adalah anaknya. Sejak kejadian itu, Zarul tidak berani pulang ke rumah. Dia akan bertemu dan mengirimkan wang belanja kepada Salmi hanya di universiti.
Masa terus berlalu dan kini Salmi telah berjaya bergelar seorang doktor. Lantas Pak Hassan ingin memenuhi hasrat Penghulu Kampung yang ingin menyatukan anaknya, Heykal dengan Salmi. Meskipun Salmi membenci Heykal seorang yang bongkak, namun dia terpaksa menerima pinangan itu kerana mengenangkan hutang Pak Hassan dengan Penghulu semakin banyak.
Sementara itu, atas desakan Salmi dan ibunya, Mak Munah, Zarul pulang ke rumah dan meminta maaf daripada Pak Hassan. Namun begitu, Pak Hassan kurang senang dengan kepulangan Zarul. Tambahan pula hubungan Zarul dan Salmi semakin mesra dan ini menimbulkan kemarahannya. Mengapa Pak Hassan tidak menyukai Zarul mempunyai hubungan yang rapat dengan Salmi? Apakah rahsia yang disimpan oleh Pak Hassan?
Kehidupan baru Salmi sebagai seorang isteri tidak seindah seperti diharapkan. Salmi sering ditinggalkan dan dipukul oleh Heykal. Zarul yang tinggal bersama Salmi mula menyedari rumahtangga kakaknya tidak bahagia. Namun apakan daya, Zarul tidak mampu berbuat apa-apa kerana sering diugut oleh abang iparnya. Hubungan rapat Salmi dan Zarul juga tidak disukai oleh Heykal. Lantas Heykal merancang untuk menghalau Zarul dari rumahnya dengan membawa adik perempuannya, Lisa tinggal bersama mereka.
Bermula dengan insiden Zarul dituduh mencuri duit Heykal kemudian dituduh menyimpan dadah cukup membuatkan Salmi terhasut dengan kata-kata Heykal untuk membenci Zarul. Apa yang menambahkan lagi kekecewaan Salmi terhadap adik kesayangan tatkala melihat Zarul sedang tidur dengan Lisa. Akhirnya kesabaran Salmi sampai ke penghujungnya apabila mendapati Zarul telah mengandungkan Lisa.
Meskipun Zarul difitnah dengan pelbagai tohmahan, namun tidak seorang pun menyebelahinya. Hanya kata-kata penghinaan yang dilemparkan kepada Zarul. Malah Zarul juga telah dibuang oleh darah dagingnya sendiri. Kini Zarul tiada lagi tempat untuk pergi apatah lagi tempat mengadu. Lantas dia pergi membawa diri dan terus menghilangkan diri. Apakah yang akan berlaku seterusnya?
Segalanya bakal terjawab dalam SURAT DARI LANGIT BIRU yang akan disiarkan mulai 6 Februari 2013, setiap hari Selasa hingga Khamis pada jam 10.00 malam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright @ Segala yang tercatat dalam blog ini adalah HAKMILIK : kkshakira.blogspot.com